Sudah
lebih 25 tahun (1988-2013) berlalu sejak pelantar terminal feri
Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth, Pulau Pinang, runtuh.
Suasana
tenang dengan tiupan lembut bayu laut sesekali mengutuskan kedamaian di
kawasan sekitar terminal itu ketika ini; kebanyakan pengunjung terutama
generasi muda mungkin leka memerhatikan panorama indah sekitar kawasan
berkenaan sementara menantikan feri merapati jeti.
Mereka mungkin
tidak menyedari apa-apa, tidak mengetahui yang sekitar 18 tahun lalu,
terminal feri itu menjadi saksi tragedi hitam yang mengorbankan 32 nyawa
serta mencederakan kira-kira 1,700 mangsa lain.
Pelantar jeti
yang dibina pada 1956 itu runtuh dipercayai akibat terlalu berat untuk
menampung beban kemasukan ribuan pengunjung yang ingin menyeberang ke
Pulau Pinang sejak pagi hari kejadian.
Dari Stesen Bas
Butterworth sehingga ke kawasan jeti yang terletak bersebelahan, ribuan
orang sudah bersesak untuk menaiki feri; mereka ingin menyeberang untuk
melihat perarakan, yang antaranya mempamerkan patung besar Buddha yang
dikatakan hanya diarak setiap 60 tahun sekali.
Hari itu adalah
hari keraian di Pulau Pinang, dua perayaan masing-masing diraikan
penganut Kristian dan Buddha disambut pada waktu sama.
Di
bahagian pulau, sambutan perayaan Kwan Yin (Dewa Pemurah) pada malam 31
Julai yang diadakan sekali setiap 60 tahun mengundang puluhan ribu
penganut Buddha tempatan dan luar negara seperti Singapura, Hong Kong
dan Taiwan. Manakala di Bukit Mertajam, Seberang Prai; pula penganut
Kristian merayakan sambutan Pesta St Anne.
Keadaan itu
menyebabkan jambatan Pulau Pinang ditutup kepada kenderaan awam untuk
mengelakkan kesesakan ketika perarakan berlangsung menjadikan
satu-satunya pintu masuk ke Georgetown ialah feri.
Bagi mereka
yang ingin ke pulau, kehadiran pengunjung yang dianggarkan lebih 10,000
orang memaksa pihak bertanggungjawab menutup pintu masuk ke kawasan
terminal dan ia dikawal pasukan keselamatan lantaran sudah terlalu
sesak.
Kawasan untuk pejalan kaki di tingkat satu terminal turut
ditutup tetapi suasana orang yang terlalu ramai menyebabkan polis yang
berkawal ketika itu tidak dapat menyekat kemasukan mereka dalam suasana
bersesak-sesak.
Keadaan
mulai menjadi kelam kabut apabila feri dari Pulau Pinang mula merapati
jeti dengan orang ramai yang berada di terminal berkenaan terus meluru
ke hadapan. Tidak lama selepas itu, kawasan berkenaan bergegar dan
pelantar jeti mulai runtuh seterusnya bermulalah permulaan bagi babak
tragedi hitam itu.
Peristiwa itu dengan cepat mendapat liputan
media massa dalam dan luar negara malah ia menjadi detik bersejarah
dalam rentetan tragedi demi tragedi yang tercatat berlaku negara ini.
Kini,
mungkin generasi muda termasuk yang dilahirkan di Pulau Pinang sudah
tidak mengingati lagi kejadian itu. Masakan tidak, 18 tahun terlalu
cepat meniti waktu; seorang bayi ketika itu juga sudah berubah menjadi
dewasa.
Bagaimanapun, bagi mereka yang terbabit dalam kejadian
berkenaan, setiap kali melalui kawasan itu; perasaan gerun, sedih dan
pilu mungkin masih menyelubungi mereka seolah-olah ia akan terus kekal
sebagai kenangan pahit dalam ingatan masing-masing, sepanjang hayat
mereka.
Tiba-tiba saja penduduk berdekatan terminal feri Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth, Pulau Pinang tergamam!
Satu
bunyi kuat yang memenuhi ruang udara kawasan itu sekitar jam 4.40
petang pada 31 Julai 1988, serta merta menyebabkan pandangan mereka
teralih ke arah terminal berkenaan dan sebaik menoleh, mereka tergamam
melihat kejadian yang sama sekali tidak disangka.
Pelantar
menunggu feri di jeti itu roboh! Beribu-ribu orang yang bersesak di atas
pelantar setinggi lima meter itu tergelongsor jatuh manakala tiang dan
kayu binaan berat menghempap jasad masing-masing!
Sedetik
kemudian, bergema suara jeritan ribuan mangsa yang kesakitan termasuk
kanak-kanak, wanita dan warga tua. Suasana mula bertukar kelam-kabut,
masing-masing hilang punca dan cemas.
Ramai
mangsa terperangkap dihempap kayu pelantar. Jasad terbaring di
mana-mana dan darah terpercik ke merata arah. Berpuluh mangsa terjatuh,
maut di situ juga.
Bunyi riuh rendah dan hingar dan kalut apabila
orang ramai kelam-kabut ingin keluar segera dari kawasan berkenaan
kerana menyangka pelantar itu akan terus runtuh dan tenggelam di dalam
air.
Pelbagai pemandangan ngeri dan menyayat hati kelihatan di
tapak runtuhan itu. Seorang pekerja jeti yang sebelum itu sibuk melarang
orang ramai memasuki kawasan berkenaan kerana sudah terlalu sesak,
kelihatan tertiarap dihempap tiang terminal sebesar pemeluk.
Dada
pekerja itu sudah menjadi leper dan tidak boleh digerakkan sama sekali,
cuma kepalanya saja tertoleh ke kiri ke kanan dan meminta tolong dengan
suara yang amat sayu.
Dari satu sudut lain, kelihatan kejadian ngeri apabila ada mangsa yang terputus kaki malah tulang keringnya jelas kelihatan.
Seorang
pelancong yang sebelum itu sibuk dengan kamera videonya merakam
pemandangan kesesakan pengunjung yang ingin memasuki Pulau Pinang bagi
menyertai keraian di sana, dilihat berlumuran darah di kepalanya,
mungkin akibat terhantuk ketika gegaran berlaku.
Ada juga mayat
dalam keadaan amat mengerikan, tulang mereka patah-riuk seakan-akan
boleh dipusing semua sendinya dengan mudah. Darah di merata tempat.
Seorang
lelaki berjaya bergayut pada papan di tingkat satu, tetapi seorang lagi
bergayut di kaki lelaki tadi. Akhirnya, tanpa dapat menampung beban
berat, kedua-dua lelaki itu jatuh ke tingkat bawah iaitu di kawasan
kenderaan dan cedera parah.
Kelihatan juga seorang mangsa yang berlumuran darah berlari terhoyong-hayang meminta tolong.
Keadaan
muka kebanyakan orang yang berada dalam kawasan kejadian itu juga agak
hitam kerana terkena habuk dan sawang yang jatuh dari atas bumbung.
Apabila
lebih ramai orang mulai pulih daripada keadaan panik, mereka yang
berada di tingkat atas mulai berteriak memberi semangat dan kata-kata
perangsang kepada mereka yang berada di tingkat bawah, khususnya mereka
yang tidak dapat bergerak kerana tersepit di celah runtuhan kayu dan
kenderaan.
Beberapa pihak yang terselamat dan pihak yang berada berhampiran mula bergegas ke tempat runtuhan bagi menghulurkan pertolongan.
Seorang
lelaki yang tidak luka mendukung seorang wanita tua yang cedera
manakala belakangnya pula mendukung seorang kanak-kanak lelaki. Dengan
dua mangsa itu, dia terus meluru keluar ke tempat selamat bersama ribuan
mangsa lain.
Pasukan penyelamat tiba di kawasan tragedi beberapa
ketika kemudian. Pihak yang terselamat dan pihak berkuasa segera
menerpa dan mengangkat mangsa yang terkorban. Ada yang mengangkat mayat
terperangkap dalam kejadian itu sambil menitis air mata mengenangkan
korban yang begitu banyak.
Stesen
bas Butterworth penuh dengan mangsa yang berjaya diselamatkan. Mereka
menenangkan diri di situ, selepas berjaya keluar dari lokasi tragedi.
Tidak seperti kawasan lokasi yang terletak berhampiran, suasana di
stesen bas itu hening.
Ramai memilih untuk tidak mengeluarkan
suara sebaliknya terus termenung seolah-olah masih tergamam dengan
kejadian tidak disangka itu. Dalam keheningan, satu kejadian hitam
dicatat dalam sejarah tragedi negara ini, pada hari itu.
Punca Kejadian di Pengkalan Sultan Abdul Halim
Puncanya
kesesakan teruk di Pengkalan Sultan Abdul Halim ini kerana ada dua
perayaan serentak melibatkan kaum Cina iaitu Pesta Dewi Kwan Yin di
Georgetown dan sambutan ulang tahun Gereja St Anne di Bukit Mertajam,
Pulau Pinang.
Perarakan kereta berhias diadakan di Padang Kota
Lama dan di Padang Kota Baru serta melalui jalan-jalan utama di bandar
Georgetown.
Patung-patung puteri dewi ini diarak di sepanjang
jalan berlampu warna-warni di tengah-tengah bandar raya pada hari Ahad
malam 31 Julai 1988.
Penganut agama Buddha dari kalangan kaum
Cina terpanggil untuk hadir kerana ia diadakan 60 tahun sekali saja
mengikut kalendar Cina (sekali seumur hidup) dan perayaan ini dipercayai
membawa tuah kerana Kwan Yin bermaksud ‘Dewi Pemurah’ . Pelancong dari
Singapura, Hong Kong dan Taiwan turut datang ketika itu.
Gereja
St Anne di Bukit Mertajam juga mengadakan pesta besar-besaran sempena
ulang tahunnya. Ramai kaum Cina menganut agama Kristian berdoa di gereja
ini pada pagi Ahad dan petangnya mereka bergerak ke Pulau Pinang untuk
melancong dan melakukan upacara keagamaan Buddha.
Jambatan Pulau
Pinang yang dibuka pada 1985 tidak dapat menampung kenderaan awam. Ramai
yang memilih ke pulau untuk menikmati keindahan Selat Butterworth,
menikmati keindahan matahari merah terbenam dan seterusnya berjalan kaki
ke Padang Kota.
Pangkalan
Sultan Abdul Halim dibina pada 1956 tidak mampu menampung ‘serbuan’
10,000 penumpang. Tiangnya daripada besi kongkrit sementara lantai dari
papan tebal. Gelegar lantai, pagar dan dinding daripada besi tumpat,
melintasi ruang laluan kereta di sebelah bawah.
Pangkalan ini ada
dua tingkat. Tingkat bawah untuk laluan kenderaan yang keluar dan
masuk. Tingkat atas pula untuk laluan penumpang dari Stesen bas
Butterwoth – keluar dan masuk.
Jam 4.40 petang itu, gelegar besi
jambatan terminal bengkok dan patah. Lantai-lantai papan turut roboh.
Dinding besi dan bumbung roboh ke bawah. Penumpang
bahahttp://www.blogger.com/img/blank.gifgian atas menggelongsor dan
terhimpit oleh tiang dan pelantar papan. Kenderaan di bawah remuk.
http://www.blogger.com/img/blank.gif
Sumber:
1.
http://www.carigold.com/portal/forums/showthread.php?t=229817
2.
http://khalic.com/terminal-feri-runtuh-di-butterworth-1988
3.
http://ms.wikipedia.org/wiki/Pangkalan_Sultan_Abdul_Halim_runtuh
4.
http://en.wikipedia.org/wiki/Sultan_Abdul_Halim_ferry_terminal_bridge_collapse