Assalamualaikum,
Ini hanya sebagai renungan . Ini kerana perkara di bawah ini sering berlaku di SMK.GUAR PERAHU INDAH.... Artikel ini dipetik dari:
http://bambang.smsselangor.com
DATUK DR AMRAN KASIMIN - Soalan Mengenai Histeria
Soalan (S): Bagaimana histeria berlaku dan mengapa?
Jawapan (J): Histeria boleh berlaku atas dua faktor iaitu disebabkan tekanan
dan gangguan. Apabila tertekan sama ada di sekolah, tempat kerja, cinta atau
pergaduhan, diri hilang pertimbangan dan kerana itu makhluk halus atau jin
mudah menguasai diri.
Manakala gangguan pula membabitkan kes seperti salah menuntut ilmu persilatan,
tarian tradisional, menurun atau orang biasa. Ini gangguan syaitan dan iblis
kerana mereka pernah berjanji untuk menyesatkan manusia walau apa cara
sekalipun.
S: Kebelakangan ini banyak kes histeria berlaku di sekolah, apa puncanya?
J: Satu sebab jin mengganggu manusia ialah kerana marah atau berdendam selepas
‘kediamannya’ dirampas manusia, contohnya kawasan itu dijadikan sekolah atau
bangunan. Sebab itu sekolah baru buka kerap berlaku histeria.
Selain itu, mungkin ada pelajar ‘mengganggu’ tempat jin itu seperti membuang
air kecil di tempat tidur atau tempat tinggalnya. Ia mungkin dilakukan di
kawasan hutan berhampiran sekolah atau belukar yang menjadi kediaman jin. Itu
juga boleh menyebabkan kemarahan jin.
Boleh jadi juga sebab mereka (jin) diganggu bunyi bising disebabkan ‘kenakalan’
pelajar terbabit sehingga menimbulkan kemarahan. Jika lama terpendam, ia
bertukar menjadi dendam dan tiba masanya, jin itu ‘menyerang’ (berlakunya histeria).
Namun histeria sebenarnya boleh berlaku kepada sesiapa saja dan tidak kira di
mana. Jika jin diganggu, mereka membalas semula. Kes yang banyak berlaku di
sekolah sekarang mungkin hanya kebetulan.
S: Bagaimana jin memasuki tubuh manusia dan ke mana tujunya?
J: Jin boleh masuk ke tubuh melalui pelbagai cara, sama ada hidung, mulut,
telinga, ibu jari kaki dan tangan. Ia makhluk halus, tidak berjasad dan mudah
berbuat demikian.
Selepas masuk, ia terus menyerang dan mengawal otak manusia, sekali gus
menyebabkan perilaku tidak normal, mengubah personaliti seseorang mengikut
jenis jin yang memasuki tubuhnya.
Ada yang dirasuk boleh bercakap dalam bahasa Thailand atau Indonesia kerana ia
pelbagai jenis dan bangsa, sama seperti manusia.
Misalnya, jika jin tua masuk ke badan, mangsa berkelakuan seperti orang tua,
bongkok. Perlu diingat, jin ini tidak mati sehingga hari kiamat.
S: Mengikut fahaman Datuk, bagaimana serangan jin boleh menyebabkan histeria
ini?
J: Jin menyerang manusia dalam keadaan tak sedar dan sukar dikawal. Serangan
memang dahsyat kerana dia memperalatkan tubuh manusia. Ada berlaku, pelajar
menggigit jari sampai berdarah kemudian menghirup darah sendiri. Sebenarnya
yang menghirup darah itu jin, bukan pelajar. Jin cuma mempergunakan tubuh
pelajar tadi.
Ada juga mangsa yang boleh berkelakuan luar biasa seperti menumbuk dengan kuat,
sedangkan yang dirasuk jin itu adalah wanita.
S: Mengapa apabila berlaku serangan histeria, ia mudah berjangkit kepada
orang lain?
J: Memang jin boleh berjangkit selepas menyerang manusia. Ia pantas, malah
boleh diibaratkan sama seperti cahaya. Dalam sekelip mata, ia boleh menyerang
ramai orang.
S: Bolehkah histeria mendatangkan kemudaratan atau bahaya kepada mangsa,
terutama pelajar?
J: Ya... kerana histeria ini menyerang otak dan fikiran manusia. Ia sama dengan
simptom dialami orang gila iaitu hilang ingatan.
Bezanya, histeria akan pulih jika jin dapat dikeluarkan dari tubuh badan. Tidak
seperti penyakit gila yang mungkin berlanjutan jika kerosakan sel otak yang
dialami pesakit tidak dapat dirawat.
Namun jika histeria itu kerap menyerang seseorang, ia membahayakan diri mangsa,
fikiran mungkin ‘dirosakkan’ makhluk berkenaan sehingga menyebabkan gila.
S: Apakah tanda seseorang itu diserang histeria?
J: Tangan menggeletar dan sejuk. Dia juga seperti dalam fantasi, mungkin
terdengar bunyi air, desiran angin atau loceng yang sayup kedengaran.
Ia boleh dirasai. Selepas jin ada pada tubuh, mangsanya melihat dunia ini
gelap, kepalanya bergoyang dan tubuh menggeletar.
S: Adakah benar mangsa yang dirasuk boleh melihat makhluk halus?
J: Ya... tetapi ia berlaku sekali imbas saja dan ia tampil dalam pelbagai rupa
dan bentuk menakutkan. Ada juga yang menyerupai objek seperti ular. Jika ada
pengakuan menyatakan ia melihat makhluk aneh, ia bukan ilusi tapi memang benar
kerana Allah SWT membuka sedikit ruang untuk melihatnya.
S: Mengapa wanita sering jadi sasaran atau mangsa histeria?
J: Wanita lebih sensitif dan dianggap lemah berbanding lelaki. Apatah lagi
dalam keadaan tertentu, wanita memang lemah seperti ketika haid, mengandung
atau berpantang. Begitupun lelaki juga tidak terkecuali, ada yang kena jika
tidak kuat semangat.
S: Bagaimana cara atau kaedah untuk mengelak menjadi mangsa?
J: Berpegang teguh dengan ajaran Allah SWT adalah langkah terbaik. Jin
sebenarnya boleh mengetahui kekuatan roh seseorang, sama ada memiliki cahaya
(iman) atau tidak. Jika kuat dengan amal ibadat, dia tidak suka mendekati.
Namun antara amalan yang boleh dilakukan ialah baca ayat Kursi selain doa.
Rasulullah SAW pernah bersabda, “Barang siapa membaca ayat Kursi ketika di
tempat pembaringan (tidur), Allah SWT menghantar dua malaikat untuk menjaganya
hingga waktu subuh.”
S: Adakah wajar kita membuat perjanjian dengan jin untuk menghindarkan
gangguan histeria ini sehingga perlu mematuhi syarat tertentu?
J: Itu tidak boleh. Jika letak syarat, ia menampakkan kita lemah, malah syirik.
Memang ada ‘tawar-menawar’, tetapi jangan letak syarat. Dalam satu kes, jin
pernah minta tempoh seminggu untuk berpindah dari situ tempat dan tidak salah
membenarkan. Barangkali mungkin jin itu hendak berkemas sebelum beredar tetapi
selepas seminggu, pastikan mereka tiada.
Dalam tempoh itu jin tidak mengganggu lagi, jika adapun sekadar gangguan kecil
seperti terdengar orang mandi, suara ganjil atau kelibat seseorang.
S: Benarkah makhluk halus ini boleh dipindahkan beramai-ramai menggunakan
kenderaan?
J: Jin boleh diibaratkan pergerakannya sama seperti cahaya, pantas dan laju.
Jika kita menggunakan kenderaan untuk memindahkan mereka ke tempat lain yang
mengambil masa beberapa jam perjalanan, selepas tiba, mereka kembali semula ke
tempat asal hanya dalam beberapa minit atau saat saja, jadi bagaimana? Bagi
saya, ini tidak logik dan menyukarkan.
S: Ada pihak ‘memagar’ tempat tertentu seperti sekolah atau bangunan untuk
menghalau gangguan makhluk halus, apa pandangan Datuk?
J: Pada saya tidak salah, namun wujud kebimbangan. Malah ada yang memagar
dengan bantuan jin juga dan ini bahaya, tidak mustahil jin ini boleh mengganggu
tempat itu. Sebaik-baiknya kembali kepada ajaran Islam, gunakan ayat al-Quran.
S: Bagaimana pula kes mereka yang diserang histeria dan selepas dirawat,
diserang kembali?
J: Apabila seseorang itu diserang histeria, ‘laluannya’ sudah ada. Sebagai
contoh, apabila masuk ke hutan, kita membuat lorong dan jika hendak masuk kali
kedua, kita guna lorong sama. Begitu juga dengan jin, namun lorong itu perlu
ditutup dengan cara memperbanyakkan amalan.
S: Apakah jenis-jenis jin?
J: Seperti manusia, jin ada pelbagai jenis dan taraf. Ada jantan dan betina;
Islam atau kafir. Makanannya nasi, darah, malah ada yang tidak makan. Ada juga
terbang di udara dan melata di bumi. Tempat kotor seperti kawasan penyembelihan
paling disukai. Makhluk ini tidak mati sehingga hari kiamat dan mereka sudah
berjanji untuk menyesatkan manusia walau dengan apa cara sekalipun.